Pesawat TUDM buat pendaratan cemas, semua anak kapal selamat
Astro Awani
Februari 26, 2016 10:37 MYT
Februari 26, 2016 10:37 MYT
Sebuah Pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis CN235 telah membuat pendaratan kecemasan berhampiran pantai Kuala Selangor sekitar jam 8.50 pagi tadi.
Menurut TUDM dalam kenyataan pada Jumaat, pesawat yang berpangkalan di PU Subang itu telah mendarat di Pantai Asam Jawa.
Pesawat yang membawa lapan orang anak kapal juga dilaporkan selamat dengan dibantu oleh nelayan tempatan yang berada di kawasan tersebut.
TUDM memaklumkan akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, dan akan berusaha untuk membuat pemulihan bagi pesawat tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kesemua penumpang telah selamat.
Beliau turut mengarahkan TUDM menyiasat punca kejadian dengan dipantau sendiri oleh Panglima Tentera Udara.
Terdahulu, dalam laporan awal, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor telah mengesahkan menerima laporan sebuah kapal terbang 'terhempas' di persisiran pantai tersebut.
"Maklumat awal diterima dari pemanggil mengatakan sebuah kapal terbang terhempas di pesisir pantai dan terbakar. Enam orang mangsa berjaya diselamatkan dengan menaiki perahu.
"Maklumat dari komander ops kelihatan asap pada jarak 200 meter dan anggota akan menuju ke lokasi pesawat dengan menaiki bot," kata JPBM dalam satu kenyataan.