Pesawat terhempas: Saksi dengar bunyi letupan kuat, nampak mangsa rentung
Bernama
Ogos 17, 2023 18:21 MYT
Ogos 17, 2023 18:21 MYT
SHAH ALAM: "Saya terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang mangsa terbakar rentung dalam keadaan terbaring," kata saksi insiden pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, di sini hari ini.
Menurut Nur Alia Nordin, 28, semasa kejadian beliau berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat menyebabkan beliau segera berlari keluar rumah untuk melihat punca bunyi tersebut.
"Saya nampak asap hitam dari lokasi kejadian iaitu tiga kilometer dari rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian yang hanya mengambil masa tiga minit.
"Sebaik tiba, saya nampak sebuah motosikal dan pesawat sedang terbakar," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tinjauan Bernama sekitar 4.21 petang mendapati pasukan penyelamat serta pihak berkuasa sudah berada di lokasi kejadian dan media tidak dibenarkan masuk ke lokasi kejadian.
Setakat ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 orang maut dalam insiden berkenaan.
-- BERNAMA