Pesawat terhempas: Polis sahkan ada VIP terkorban
Astro Awani
Ogos 17, 2023 18:12 MYT
Ogos 17, 2023 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan terdapat orang kenamaan (VIP) yang maut dalam kejadian jet peribadi yang terhempas di Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, berkata bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesahkan identiti mereka.
"Kita perlu membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai identiti mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengesahkan 10 orang termasuk lapan penumpang dan kru pesawat itu maut dalam kejadian berkenaan.
Dua lagi yang maut adalah orang awam yang berada di lokasi kejadian iaitu seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal.
Beberapa portal media melaporkan, salah seorang penumpang yang maut adalah ahli politik.