Pesawat terhempas: Kematian jurulatih penerbangan berpunca cedera di tengkuk, dada
Bernama
Ogos 2, 2022 16:50 MYT
Ogos 2, 2022 16:50 MYT
IPOH: Keputusan bedah siasat jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal yang maut dalam nahas pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di sini malam tadi, disebabkan kecederaan pada tengkuk dan dada.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu adalah disebabkan kemalangan aviasi.
Dalam insiden kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.
Kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.
Sementara itu, bapa saudara mangsa yang dikenali sebagai Radzi, 50, ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini berkata Allahyarham Fajim Juffa dijangka akan dikebumikan di Semenyih, Selangor berhampiran kediaman mangsa.
Radzi berkata Allahyarham akan disembahyangkan di Surau Al-Kauthar, Bandar Tasik Kesuma namun lokasi tanah perkuburan masih belum diketahui.
Sejak awal pagi tadi, ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham turut hadir menanti proses bedah siasat selesai dijalankan.
-- BERNAMA