Pesawat terhempas: Juruterbang parah stabil, masih terima rawatan

Sinar Harian
Ogos 2, 2022 12:29 MYT
Mior Faridalathrash bercakap kepada media mengenai insiden pesawat ringan jenis Piper 28 terhempas di Medan Gopeng malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Juruterbang yang cedera parah selepas terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng pada Isnin dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keadaan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa juruterbang berusia 62 tahun itu telah meninggal dunia sepertimana tersebar sejak malam Isnin.
Menurutnya, setakat ini, insiden yang berlaku sekitar jam 8 malam itu mengorbankan seorang juruterbang, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, sementara seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, terselamat dengan mengalami kecederaan.
"Semalam saya dengar ada khabar-khabar angin dan pihak media pun ada yang menghubungi saya mengatakan pilot (juruterbang) seorang lagi meninggal dunia.
"Cerita itu tidak benar, beliau masih lagi dirawat di HRPB dan keadaannya stabil," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Bot Penyelamat PDRM Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memulakan siasatan di tempat kejadian nahas itu pada Selasa.
Katanya, Polis Perak turut membantu siasatan dengan mengadakan kawalan di lokasi kejadian bagi mengelak sebarang pencerobohan ke atas serpihan dan bangkai pesawat.
"Kita lakukan kawalan sepanjang malam hinggalah pagi ini untuk memberi ruang kepada CAAM menjalankan siasatan tentang insiden berkenaan," katanya.
Dilaporkan kemalangan terbabit melibatkan jenis pesawat Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA yang dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.
Kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah. - Sinar Harian
#Mior Faridalathrash Wahid #pesawat ringan terhempas #Ipoh #Juruterbang
;