Pesawat terhempas Elmina: 'Saya terkejut, anak pula di rumah' - Penduduk

Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2023 00:29 MYT
Shahril Chik memberitahu, ketika kejadian dia berada di pejabat dan mendapat maklumat berhubung nahas itu melalui kumpulan Telegram. - Astro AWANI
SHAH ALAM: “Saya terkejut dan panik bila dapat tahu insiden tersebut.”
Demikian luah seorang penduduk Elimna Valley 1, Shahril Chik, 40, sebaik sahaja mendapat berita mengenai nahas pesawat ringan di Elmina, Seksyen U16 di sini pada petang Khamis.
Menurut Pegawai Teknologi Maklumat (IT) itu, ketika kejadian dia berada di pejabat dan mendapat maklumat berhubung nahas itu melalui kumpulan Telegram sekitar jam 3 petang.
“… ada orang cakap bunyi letupan. Orang cakap ada kapal terbang, dan banyak pula orang kongsi gambar, kita terkejut lah.
“Anak kita pula di rumah. Tapi lepas kita tahu ia di sini (sekitar satu kilometer dari kediamannya), kurang sikit lah panik,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata dia terus bergegas ke lokasi kejadian selepas selesai mesyuarat untuk melihat keluarga sebelum datang ke tempat nahas.
“Nak cakap perasan itu sebab bukan benda yang elok, ini tragedi… kita sedih lah.
“Kat mana-mana tempat pun, harap ini tak terjadi,” tambahnya.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban
Sementara itu, pekerja dobi, Dayang Suhana berkata ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan tersebut.
“Saya pergi kerja di kedai dobi, saya ternampak asap dan saya cepat-cepat pergi. Saya bergerak dengan kereta ke lokasi dan nampak kapal terbang terbakar.
“Saya tengok kapal terbang itu… Ya Allah memang dah tak boleh buat apa-apa.
“Rasa terkejut dan sedih sebab tak pernah berlaku lagi di sini,” ujarnya.
Dalam kejadian tersebut, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 orang maut dalam insiden berkenaan.
#pesawat terhempas Elmina #Penduduk #Shahril Chik #Dayang Suhana
;