Pesawat terhempas Elmina: Lencongan tersasar dari laluan asal sebelum terhempas - Loke
Astro Awani
Ogos 17, 2023 20:44 MYT
Ogos 17, 2023 20:44 MYT
KUALA LUMPUR: Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N-28JV yang terhempas di kawasan perumahan di Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam petang tadi telah tersasar dari laluan asalnya sebelum terhempas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, lencongan mengejut itu berlaku tiga minit selepas mendapat pelepasan dari menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Subang pada 2:48 petang.
“Menurut menara (kawalan trafik udara), mereka perasan pesawat itu terkeluar sedikit ke tepi laluan asalnya.
"Selepas memberi kebenaran untuk pesawat mendarat, pengawal melihat asap dari menara, datang dari lokasi nahas," kata Loke pada sidang media di Lapangan Terbang Subang pada Khamis.
Beliau juga memaklumkan, misi pencarian kotak hitam pesawat yang terhempas itu sedang dijalankan.
Jelas Loke, bahagian siasatan kemalangan udara kementerian pengangkutan BSKU telah diaktifkan sebaik sahaja disahkan berlaku kemalangan tersebut.
Beliau juga turut memaklumkan senarai mangsa yang terdapat dalam manifest pesawat tersebut.
Mereka yang namanya disebut berada dalam penerbangan itu ialah dua juruterbang; Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim, dan penumpang: Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Johari Harun, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.
Jelasnya lagi, dua pemandu di atas jalan rayat yang maut akibat kemalangan itu masih belum dikenal pasti.