Pesawat terhempas Elmina: Exco Pahang disah antara mangsa terkorban

Astro Awani
Ogos 17, 2023 11:42 MYT
Wan Rosdy membuat pengesahan membabitkan Johari di laman Facebook beliau, pada petang Khamis. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun disahkan antara mangsa yang terkorban dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membuat pengesahan membabitkan Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu di laman Facebook beliau, pada petang Khamis.
"Innalillahiwainnalillahirajiun. Dengan penuh kesedihan dan dukacita, saya telah dimaklumkan bahawa YB. Datuk Seri Johari Harun, ​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan kediaman Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, kira-kira jam 2.45 petang tadi.
"Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
"Sesungguhnya Negeri Pahang kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri ini.
"Saya juga menyeru agar orang ramai tidak menyebarkan imej atau video mangsa ketika kemalangan bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin. Amin," katanya.
BACA: 10 disah maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina - KP Selangor
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kapal terbang terhempas di Elmina, Shah Alam
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, petang Khamis, mengesahkan terdapat orang kenamaan (VIP) yang maut namun tidak mendedahkan identitinya.
Beliau dilapor berkata, polis pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesahkan identiti semua mangsa terbabit.
"Kita perlu membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai identiti mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengesahkan 10 orang termasuk lapan penumpang dan kru pesawat itu maut dalam kejadian berkenaan.
Dua lagi yang maut adalah orang awam yang berada di lokasi kejadian iaitu seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal.
#pesawat terhempas #identiti mangsa #exco pahang #Johari Harun