Pesawat terhempas Elmina: Empat mayat masih dicari, enam ditemukan

Hasimi Muhamad, Fahmi Izuddin
Ogos 17, 2023 22:01 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini enam mayat telah ditemukan, dengan satu mangsa dalam keadaan sempurna. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Sekurang-kurang baki empat mayat nahas pesawat yang terhempas berhampiran Elmina, di sini masih dalam operasi mencari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini enam mayat telah ditemukan, dengan satu mangsa dalam keadaan sempurna.
Sementara, lima lagi mayat yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna termasuk kehilangan kaki.
“Mayat ada enam yang dijumpai, satu mayat dalam keadaan sempurna manakala lima lagi merupakan cebisan mayat.
“Kalau ikutkan dalam kapal terbang semua sekali ada lapan, satu pembonceng motosikal telah ditemukan dan satu pemandu kereta.
"Pemandu kereta kita tak tahu dia sama ada pemandu Grab, atau ada penumpang. Dan kita cuba dapatkan warisnya tetapi tak jawab telefon lagi,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis malam.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban
Razarudin berkata, kawasan percarian ketika ini meliputi keluasan lebih satu ekar.
Dalam masa sama, beliau berkata pihak berkuasa ketika ini sedang giat mengesan cebisan mayat terlebih dulu sebelum memberi tumpuan kepada pencarian kotak hitam.
Setakat ini, katanya identiti mangsa pembonceng motosikal telah dikenal pasti dan waris telah dihubungi.
“Apabila kita dah jumpa, kita semak badannya, jam dan sebagainya, selepas itu baru kita bawa (ke hospital).
“Ada proses-prosesnya dan proses di sini dulu,” ujarnya.
Ujarnya, kesemua mayat dijadual dibawa Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Beliau menambah, polis telah menyediakan tempat untuk waris mangsa melakukan ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Setakat ini, 240 pihak berkuasa daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan.
#pesawat terhempas Elmina #Ketua Polis Negara Razarudin Husain #mayat #Beechcraft
;