Pesawat terhempas Elmina: 10 mayat, 5 bungkusan cebisan dibawa keluar

Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2023 23:42 MYT
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Sebanyak 10 mayat yang terlibat dengan nahas pesawat terhempas berhampiran kawasan kediaman Elmina telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, selain itu lima bungkusan cebisan turut berjaya dibawa keluar kira-kira jam 10.30 malam sebelum kesemuanya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat dan pengecaman.
“Polis bersama bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta agensi terlibat telah selesai pencarian badan mayat lebih kurang jam 10.30 malam.
“Kita selesai jumpa dan proses sebanyak 10 badan dan lima bungkusan cebisan badan.
“Semua mayat akan dibawa ke HTAR untuk proses bedah siasat termasuk pengecaman.
“Ini pencarian pertama dan ini semua akan dibawa ke hospital Klang untuk dimulakan proses bedah siasat termasuk pengecaman,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis malam.
Hussein menambah, pasukan mencari akan menyambung operasi kedua pada pagi esok termasuk jika ada cebisan yang masih tertinggal.
Dalam masa sama, beliau percaya proses bedah siasat dapat diselesaikan selewat-lewatnya tengah hari Jumaat bergantung kepada analisis DNA.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban
Terdahulu, Hussein mengesahkan 10 mangsa disahkan maut dalam tragedi berkenaan.
Setakat ini, 240 pihak berkuasa daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi tersebut.
#pesawat terhempas Elmina #mayat mangsa #Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan #HTAR
;