Pesawat terhempas di Klang: Waris selesai tuntut mayat mangsa

Ridauddin Daud
Februari 14, 2024 18:28 MYT
Kenderaan membawa mayat kedua-dua mangsa meninggalkan HTAR. - Gambar/ Astro AWANI
KLANG: Mayat dua mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, telah dituntut ahli keluarga masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada Rabu.
Kenderaan membawa mayat pertama yang merupakan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 42, dilihat keluar meninggalkan bangunan tersebut pada jam 3.08 petang.
Mayat kedua pula iaitu juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dibawa keluar jam 6.08 petang.
Dua motosikal berkuasa besar polis dilihat mengetuai konvoi kedua-dua kenderaan tersebut keluar dari HTAR.
Difahamkan, mayat Roshaan Singh akan dibawa ke rumah keluarganya di Johor Bahru sebelum upacara persemadian dilakukan di sana.
Manakala mayat Daniel Yee pula dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan proses bedah siasat melibatkan dua mangsa nahas pesawat ringan itu selesai pada jam 12.15 tengah hari tadi di Jabatan Forensik HTAR.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, proses tersebut bermula pada jam 10 pagi dan mengambil masa lebih dua jam untuk selesai.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia kerana ‘pelbagai kecederaan akibat nahas pesawat’.
Pada Selasa, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.
Kedua-dua mangsa ditemukan berada di dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter di dalam tanah.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.
#pesawat terhempas di klang #identiti mangsa #punca kejadian #waris mangsa
;