Pesawat terhempas di Klang: Proses bawa keluar bangkai dijangka selesai hari ini
Sinar Harian
Februari 14, 2024 14:07 MYT
Februari 14, 2024 14:07 MYT
KLANG: Usaha membawa keluar serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di kawasan kebun Kampung Tok Muda, dekat sini bermula pada pagi Rabu.
Serpihan pertama yang dibawa keluar adalah sayap pesawat ringan sepanjang sembilan meter dan serpihan kecil lain.
Menurut sumber, proses membawa keluar serpihan pesawat dijangka selesai sepenuhnya hari ini.
Katanya, proses pencarian bukan sahaja dibuat sekitar lokasi utama pesawat tersebut terhempas, malah ia turut dilakukan melibatkan dua kilometer persegi.
"Berdasarkan siasatan awal, pesawat ringan itu dipercayai tidak jatuh secara menjunam atau menegak, sebaliknya secara menyerong.
"Ia berdasarkan kesan pelanggaran pesawat tersebut yang melanggar pokok kelapa sawit sebelum terhempas sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Menurut sumber, pesawat buatan Itali itu telah terbenam sedalam dua meter ke dalam tanah, menyebabkan ia memerlukan masa untuk dikeluarkan.
Jelasnya, tiga bilah kipas yang berada di hadapan pesawat ringan itu dilihat sebagai punca ia boleh terbenam ke dalam tanah kerana kipas tersebut hanya berhenti berpusing apabila bekalan minyak habis.
"Proses mengorek dan mengeluarkan bangkai pesawat ringan itu telah selesai dilakukan pada Selasa.
"Namun cabaran lumpur yang terdapat di lokasi menyukarkan sedikit urusan membawa keluar bangkai pesawat," ujarnya.
Ditanya mengenai kotak hitam yang boleh dijadikan petunjuk kepada penyiasatan pihak berkuasa, sumber itu berkata, pesawat ringan terbabit tidak mempunyai kelengkapan tersebut.
"Pesawat ringan di negara ini tidak diwajibkan untuk meletakkan kotak hitam, tidak seperti mana kapal terbang komersial yang membawa penumpang.
"Mungkin disebabkan kos yang agak besar, kebanyakan pesawat ringan di negara ini tidak memasang kotak hitam," katanya.
Tambahnya, pesawat malang itu juga didapati 'kosong' tanpa kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta kelengkapan sistem kedudukan global (GPS).
Katanya, situasi tersebut menyulitkan proses siasatan yang dijangka mengambil masa selama setahun.
"Ini membuatkan siasatan tidak ubah seperti teka-teki dengan cantuman terhadap semua serpihan akan dilakukan bagi proses siasatan itu.
"Semua serpihan pesawat itu akan dibawa ke sebuah hangar yang berada berhampiran Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Jika diizinkan oleh Allah, semua proses membawa keluar bangkai ini dijangka selesai sebelum maghrib," katanya.
Ujarnya lagi, berdasarkan keterangan daripada saksi memaklumkan melihat sayap pesawat tersebut patah di udara sebelum terhempas di kawasan kebun kelapa sawit.
Justeru katanya, siasatan akan menjurus kepada perkara tersebut, selain faktor lain pada enjin pesawat.
"Setakat ini, sukar untuk mengenal pasti punca awal pesawat itu terhempas, namun kita akan lihat pada sayap termasuk hentakan yang berlaku selain enjin pesawat.
"Kita akan kaji segala kemungkinan punca kejadian ini. Orang ramai juga diharap membantu dalam menyerahkan mana-mana serpihan kecil pesawat sekiranya menemuinya," katanya.
Ketika ditanya sama ada dibenarkan pesawat tanpa sebarang alat komunikasi untuk terbang, pegawai tersebut menyatakan perkara itu perlu dirujuk kepada kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati sebuah serpihan termasuk roda dan bahagian minyak telah dibawa keluar dari lokasi rumah penduduk serta dihimpunkan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian. - Sinar Harian