Pesawat terhempas di Elmina:"'Selfie' pertama dan terakhir daripada abang untuk kami" - Adik

Bernama
Ogos 18, 2023 16:11 MYT
Norsyahirah menunjukkan gambar swafoto abangnya bersama mangsa yang lain sebelum kejadian berlaku semalam. - Gambar/ Bernama
LUMUT: Seorang penumpang pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam dilihat teruja semasa menaiki pesawat itu, malah sempat menghantar gambar swafotonya kepada ahli keluarga sebelum tragedi.
Norsyahirah Omar, 29, berkata arwah abang sulungnya Komander (B) Shaharul Amir Omar, 49, tidak pernah menghantar gambar swafotonya dalam aplikasi WhatsApp kumpulan keluarga mereka sebelum ini.
"Sebelum ini arwah tidak ada swafoto, dan hanya menghantar gambar tempat dituju dalam WhatsApp keluarga kami, tetapi semasa menaiki pesawat itu dia nampak amat teruja, lain dari biasa dan memberitahu seronok bos belanja menaiki pesawat.
"Banyak gambar swafotonya yang dihantar semasa dalam pesawat... mungkin dia sudah rasa hendak pergi meninggalkan kami. Kami tidak menyangka itulah kali terakhir 'bersembang' dengan dia," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman arwah di Seri Manjung di sini hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata mereka sekeluarga terkejut apabila melihat video tular di media sosial petang semalam dan berusaha menghubungi arwah kerana bimbang namun arwah gagal dihubungi, dan kali terakhir maklumat yang diterima adalah apabila arwah memberitahu ibunya akan bertolak dari Langkawi ke Subang pada pukul 2 petang.
Norsyahirah yang tinggal di Yan, Kedah berkata beliau segera pulang ke rumah ibu mereka di Felda Lubuk Merbau, Sik, Kedah, sebelum bertolak ke rumah milik arwah yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didiami bersama isteri dan anak-anaknya di sini.
Beliau berkata ibunya dan beberapa adik beradik lain kemudian pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pengecaman mayat.
Katanya Shaharul merupakan seorang yang bertanggungjawab dengan menjaga kesemua adik-adiknya dan ibu mereka Che Ana Abdullah, 67, yang juga suri rumah selepas kematian bapa mereka akibat kanser hati pada 2010.
"Selepas kematian ayah, abang banyak menjalankan tanggungjawab terhadap semua keperluan keluarga dan membantu adik-adik yang masih belajar.
"Arwah yang mempunyai empat anak berusia 12 hingga 19 tahun juga seboleh-bolehnya mencari masa untuk pulang dan berkumpul bersama keluarga walaupun sibuk bekerja, tetapi dalam sekelip mata dia sudah tiada, namun kami reda akan pemergiannya," katanya.
Menurutnya Shaharul sebelum ini bertugas mengendalikan helikopter untuk membawa Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun bagi urusan kerja namun ketika kejadian hanya menjadi penumpang pesawat itu.
Beliau berkata ketika ini pihak keluarga masih menunggu keputusan sama ada jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Selangor atau dibawa pulang untuk dikebumikan di Seri Manjung.
Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu termasuk Johari maut.
Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat ringan itu, manakala dua lagi adalah orang awam, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang berada di kawasan nahas.
Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat di lapangan terbang pada pukul 2.48 petang.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas #Elmina #tragedi pesawat elmina #keluarga mangsa #Shaharul Amir
;