Pesawat terhempas di Elmina: Salah seorang mangsa bekas pegawai bomba

Sinar Harian
Ogos 17, 2023 05:45 MYT
Facebook Bomba Channel merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Khairil Azwan. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Salah seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Lebuh Raya Guthrie dekat perumahan Elmina, di sini, petang Khamis merupakan bekas pegawai bomba.
Khairil Azwan Jamaludin, 43, adalah bekas pegawai di Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Laman Facebook Bomba Channel merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Khairil Azwan.
Sinar Harian terdahulu melaporkan adik mangsa, Khairul Azman, 40, menafikan bahawa abangnya itu adalah anak kepada bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015 seperti yang ditularkan di media sosial.
"Angah adalah anak peneroka Felda Mempaga 1 bukan anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis," kata Khairul Azman.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina, 10 terkorban
Khairul Azman berkata, abangnya adalah anak kedua daripada lapan beradik dan menetap di Seremban serta berkhidmat sebagai juruterbang bagi Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sejak beberapa tahun lalu.
Polis terdahulu mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat ringan terhempas kira-kira jam 2.40 petang Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata setakat ini semua mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an yang mana lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat. - Sinar Harian
#pesawat terhempas Elmina #Facebook Bomba Channel #Khairil Azwan Jamaludin #bekas pegawai bomba
;