Pesawat terhempas di Elmina: Polis sahkan hanya 10 mangsa terlibat

Umavathi Ramayah
Ogos 20, 2023 10:00 MYT
Hussein bercakap pada sidang media ketika hadir di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, malam tadi, 19 Ogos 2023. - Gambar fail/BERNAMA
KLANG: Polis mengesahkan tiada lagi individu selain 10 mangsa yang dilaporkan sebelum ini terlibat dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina, Shah Alam, dekat sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengesahan itu dilakukan selepas kesemua spesimen cebisan anggota badan yang ditemukan di lokasi nahas padan dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarga.
“Kesemua jenazah mangsa yang terlibat dalam nahas telah dikenal pasti dan sedia untuk diserahkan kepada wakil keluarga pada pagi ini.
“Ia dikenal pasti menerusi beberapa padanan seperti bukti DNA dan odontologi termasuk gigi. Polis dan pihak hospital mengesahkan hanya 10 individu terlibat dalam nahas ini,” katanya.
Hussein berkata demikian pada sidang media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengendalikan kesemua urusan berkaitan jenazah terbabit sehingga selesai.
Menurutnya, jenazah akan diuruskan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan HTAR.
Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat ini tiga pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang melalui kawasan nahas sudah tampil memberi keterangan.
Pada masa sama beliau terus meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil menghubungi polis dengan segera.
Hussein juga mengakui, walaupun proses mengenal pasti jenazah sukar dijalankan, namun ia dapat diselesaikan sehari lebih awal berbanding jangkaan sebenar.
“Kita perlu berada di lokasi kejadian untuk tiga hari bagi mengumpul sepenuhnya bukti dan kaedah DNA yang mengambil sedikit masa.
“Namun semua proses itu dipermudahkan. Kita jangka selesai pada Isnin, namun dapat diselesaikan malam tadi. Dan pagi ini kita dapat serahkan (kepada keluarga) kesemua mangsa ini,” jelasnya.
Senarai 10 mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan adalah seperti berikut:
1) Muhammad Hafiz Muhammad Salleh (penunggang motosikal)
2) Datuk Seri Johari Harun (penumpang pesawat)
3) Muhammad Taufik Mohd Zaki (penumpang pesawat)
4) Khairil Azwan Jamaludin (penumpang pesawat)
5) Sharipudin Shaari (pemandu motokar)
6) Shaharul Amir Omar (penumpang pesawat)
7) Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi (penumpang pesawat)
8) Idris Abdul Talib @ Ramali (penumpang pesawat)
9) Shahrul Kamal Roslan (juruterbang pesawat)
10) Heikal Aras Abdul Azim (juruterbang pesawat)
#Hussein Omar Khan #DNA #pesawat terhempas Elmina
;