Pesawat terhempas di Elmina: Pemandu lori cuba selamatkan mangsa
Sinar Harian
Ogos 18, 2023 17:47 MYT
Ogos 18, 2023 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori cuba untuk menyelamatkan penunggang motosikal yang terlibat dalam nahas sebuah pesawat terhempas di Bandar Elmina dengan menggunakan alat pemadam api.
Kejadian yang menyayat hati itu dikongsikan sendiri oleh saksi menerusi satu hantaran video di laman sosial, TikTok milik @affyndy pada Khamis.
Menurut pemandu lori itu, sebaik sahaja pesawat berkenaan terhempas, dia bergegas keluar daripada lori lalu terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan.
“Saya ambil pemadam api yang ada di dalam lori dan pergi berhampiran lokasi arwah berada dan pada ketika itu dia (penunggang motosikal) masih lagi bergerak.
“Saya nak rapat dengan arwah, namun masih ada barang-barang yang meletup. Kemudian saya terus pergi dekat dengan arwah dan tembak menggunakan pemadam api,” tulisnya.
Bagaimanapun, dia mendakwa pemadam api yang digunakan itu tidak mencukupi untuk memadamkan kebakaran pada tubuh mangsa.
Pada masa sama, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan nyawa penunggang motosikal itu.
“Saya sudah cuba untuk menyelamatkan ‘rider’ motosikal. Maafkan saya,” katanya kesal.
Pada Khamis, pesawat berkenaan dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, namun terhempas dua minit sebelum melakukan pendaratan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, berdasarkan pengamatan awal, pesawat berkenaan didapati melencong ke sebelah kanan dari laluan pendaratan. - Sinar Harian