Pesawat terhempas di Elmina: Orang awam, penduduk sekitar antara dirakam keterangan

Sinar Harian
Ogos 18, 2023 15:22 MYT
Misi diteruskan untuk mencari komponen kotak hitam dan mengesan sisa mayat yang mungkin masih tertinggal di lokasi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas ini. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM : Orang awam serta penduduk sekitar antara individu dirakam keterangan berhubung nahas melibatkan pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini proses siasatan masih berjalan.
"Orang awam selain penduduk sekitar kawasan perumahan berhampiran lokasi nahas ini antara individu yang diambil keterangan.
"Proses siasatan masih berjalan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi tragedi pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16 di sini pada Jumaat.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina
Polis sebelum ini mengesahkan operasi penyiasatan hari kedua diteruskan bermula jam 8 pagi pada Jumaat.
Misi diteruskan untuk mencari komponen kotak hitam dan mengesan sisa mayat yang mungkin masih tertinggal di lokasi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas ini.
Seramai 240 anggota dan pegawai agensi yang terlibat dalam operasi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Polis Diraja Malaysia.
Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas. - Sinar Harian
#pesawat terhempas #Elmina #tragedi pesawat elmina #Rakam keterangan #penduduk tempatan
;