Pesawat terhempas di Elmina: KKM tunggu laporan akhir agensi terlibat

Bernama
Ogos 18, 2023 16:07 MYT
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik di Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menunggu laporan akhir daripada agensi yang terlibat dalam penyiasatan insiden pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor semalam yang mengorbankan 10 orang.
Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni berkata kementerian akan mengumumkan laporan akhir itu sebaik sahaja ia diterima.
"Kementerian sentiasa sedia membantu dalam operasi dan memberi bantuan kepada keluarga mangsa terbabit," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-10 Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik, Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.
Lukanisman berkata kementerian turut menyediakan perkhidmatan psikososial untuk menenangkan keluarga dan waris mangsa nahas itu.
Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di lokasi kejadian mengakibatkan 10 individu maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas #nahas Elmina #KKM #Lukanisman Awang Sauni