Pesawat terhempas di Elmina: Keluarga Muhamad Hafiz mohon henti sebar video

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 19, 2023 18:23 MYT
Noorhidayah Saleh, 30, berharap semua pihak dapat memahami dan menghormati perasaan mereka sekeluarga yang kehilangan Allahyarham sekelip mata. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, salah seorang mangsa dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, memohon netizen berhenti menyebarkan gambar dan video membabitkan abangnya dalam kejadian itu di media sosial.
Adik Allahyarham, Noorhidayah Saleh, 30, berharap semua pihak dapat memahami dan menghormati perasaan mereka sekeluarga yang kehilangan Allahyarham sekelip mata.
"Saya nak minta tolong... jasa baik seluruh rakyat Malaysia yang masih menyebarkan gambar atau video abang saya... saya mohon sangat-sangat tolonglah padam dan hentikan sebar.
"Kita tak tahu yang Allah nak jemput dia dengan cara macam itu... minta jaga perasaan keluarga sebab kami sebenarnya masih terkejut.
"Kami minta sangat-sangat kepada semua rakyat Malaysia, tolonglah henti sebarkan gambar atau video abang saya itu. Bagi seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan abang saya, saya ucap terima kasih banyak- banyak semoga Allah membalas jasa baik kalian," katanya.
Noorhidayah merujuk kepada klip video dan gambar abangnya yang rentung dalam kejadian berkenaan.
Dia ditemui selepas selesai pengebumian jenazah Muhamad Hafiz di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda Kampung Jerung, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Noorhidayah turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu bermula dari hari kejadian sehingga selesai pengebumian jenazah.
Sementara itu, Noorhidayah berkata, dia belum memutuskan sama ada ingin meneruskan majlis akad nikah dirinya dan pasangan yang sepatutnya berlangsung Jumaat depan atau sebaliknya.
Katanya, dia akan berbincang mengenai perkara itu bersama kedua ibu bapanya selepas ini.
"Mungkin bila dah reda sikit baru boleh bincang pasal majlis, buat masa sekarang memang tak ada sebut apa-apa pasal majlis... cuma insya-Allah kalau diteruskan pun mungkin kita akan buat kecil-kecilan... benda dah ada kan, kita teruskan... cuma buat masa sekarang memang tak fikir," katanya.
Muhamad Hafiz yang juga penghantar makanan merupakan jenazah pertama yang identitinya dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Jenazah kemudiannya telah dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh, 57, pada kira-kira pukul 9.30 pagi.
Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.
#pesawat terhempas #Elmina #Muhamad Hafiz #berhenti sebar video
;