Pesawat terhempas di Elmina: Kalau ada lagi sebar video, kami ambil tindakan - Ayob Khan
Hasimi Muhamad
Ogos 20, 2023 14:12 MYT
Ogos 20, 2023 14:12 MYT
GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan terakhir kepada orang awam agar tidak menyebarkan video mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab, jika masih berbuat demikian.
“Hormatilah privasi keluarga yang terlibat dalam nahas berkenaan.
“Kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kalau ada lagi. Saya rasa SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) juga telah keluarkan kenyataan dan ini kenyataan daripada polis, ada lagi kita akan ambil tindakan bawah 233.
“Jangan sebarkan video-video, kalau ada salurkan kepada pihak polis. Banyak teori yang ada dan sebab itu saya katakan jangan buat spekulasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, di sini hari ini.
Ayob Khan menambah setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan tiga individu yang terlibat dalam penyebaran video nahas berkenaan.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lagi individu yang dipanggil bagi membantu siasatan.
“Bermula hari ini, kalau ada lagi (yang sebar video) akan diambil tindakan di bawah 233,” tambahnya.
Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi nahas
Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.50 petang.