Pesawat terhempas di Elmina: Hajat pulang melepas rindu ibu tidak kesampaian - Kakak pemandu Grab
Bernama
Ogos 18, 2023 22:22 MYT
Ogos 18, 2023 22:22 MYT
KLANG: "Nanti kak chik, saya balik...". Itu ungkapan terakhir Sharipuddin Shaari, 53, yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, semalam.
Kakak mangsa Ramlah Shaari, 56, ketika berkongsi detik terakhir bersama adiknya itu berkata Sharipuddin sebelum ini, berhajat untuk pulang ke kampung halaman mereka di Arau, Perlis untuk menjenguk ibunya, Hatun Bakar, 81.
Kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata, Ramlah berkata kali terakhir Sharipuddin yang bertugas sebagai pemandu e-hailing, menghubunginya pada dua minggu lepas.
"Dua minggu lepas saya ada hubungi dia dan beritahu mak rindukannya, tetapi dia menjawab tidak sempat balik dan kami jangka mereka akan pulang pada cuti sekolah akan datang ini," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, malam ini.
Ramlah berkata Sharipuddin yang merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik itu, memang rapat dengan ibunya kerana sebelum ini mereka tinggal serumah di Kampung Rani Estet, Arau, sebelum berpindah ke Sepang, Selangor.
Beliau berkata adiknya yang merupakan pesara tentera itu tinggal di Sepang bersama isteri dan dua anaknya berusia 16 dan lapan tahun, serta bekerja sebagai pemandu e-hailing.
"Kami dapat berita mengenai kejadian ini lepas Maghrib semalam dan kami tidak beritahu ibu, kerana dia ada penyakit jantung.
"Kami sekeluarga bergerak dari Arau lepas subuh tadi dan apabila sampai di Klang kira-kira pukul 2 petang, baru kami beritahu ibu mengenai kejadian dan beliau amat sedih sekali kerana sangat rindukan Sharipuddin," katanya.
Ramlah berkata, adiknya seorang yang rajin dan sangat disenangi orang sekeliling serta gemar membantu orang yang memerlukan.
Beliau berkata setakat ini, keluarga masih berbincang mengenai urusan pengkebumian Sharipuddin selepas urusan bedah siasat selesai.
Sementara itu, rakan mangsa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh (Perlis) Megat Hashirat Hassan, ketika ditemui di Jabatan Forensik HTAR berkata Sharipuddin ada menghubunginya, tiga hari sebelum nahas tersebut menimpa pemandu e-hailing itu.
"Tiga hari sebelum kejadian dia ada hubungi saya dan bersembang panjang...dia antara rakan dan orang kuat saya, yang banyak membantu kempen ketika saya menjadi calon PRU lepas. Dia sahabat yang sangat baik... saya terkilan dan sedih bila dapat berita kematiannya.. dia baru berpindah ke Selangor," katanya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi dan Inovasi,Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Perpaduan Masyarakat dan Kesihatan Perlis, berkata kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sharipuddin, selain bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan keluarga mangsa.
Sementara itu sepupu Alllahyarham Maznah Abdullah berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham Sharipuddin, kira-kira lima bulan lepas sewaktu beliau pulang bagi sambutan Aidilfitri bersama keluarga, di Kampung Rani Estate, di sini.
Maznah, 68, berkata arwah seorang yang rajin dan beliau mempunyai dua anak iatu Muhammad Sharul dan Nur Izzara Arissya, hasil perkongsian hidupnya bersama Suriana Muda, 43.
"Kami sekeluarga mendapat berita sedih ini kira-kira 8 malam pada hari kejadian (Khamis). Hati terus rasa sebak memandangkan arwah rapat dengan keluarga," katanya kepada Bernama.
Dalam nahas pada 2.48 petang semalam, sebuah pesawat peribadi yang membawa dua kru serta enam penumpang terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, selain turut mengorbankan dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan p-hailing.
-- BERNAMA