Pesawat terhempas di Elmina: CAAM kumpul maklumat Beechcraft 390 di Malaysia

Sinar Harian
Ogos 19, 2023 16:49 MYT
CAAM akan menjalankan siasatan terhadap kesemua pesawat itu selepas diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan pada Jumaat. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang mengumpul maklumat mengenai kesemua pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kesemua pesawat itu selepas diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.
"Setakat ini, kita belum mendapat jumlah sebenar pesawat tersebut, bagaimanapun CAAM sedang mengenal pasti keseluruhan pesawat itu dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Norazman berkata, pihaknya turut membantu Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berkaitan insiden nahas pesawat Beechcraft 390 (Premier 1), yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, Elmina, Shah Alam, petang Khamis lalu.
"BSKU menjalankan siasatan menyeluruh dan akan mengeluarkan laporan penuh berkaitan insiden itu, manakala CAAM pula akan membantu BSKU dari segi teknikal," katanya.
Terdahulu Kementerian Pengangkutan meminta CAAM untuk menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan pada masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penangguhan operasi model pesawat tersebut.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas dan mengakibatkan 10 maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing. - Sinar Harian
#pesawat terhempas #Elmina #CAAM #Beechcraft
;