Pesawat terhempas di Elmina: Allahyarham Hafiz anak yang baik - Ibu

Sinar Harian
Ogos 19, 2023 11:57 MYT
Jamaliah Ismail, 53, berkata anak sulungnya itu sering menghubungi dirinya dan suami. - Gambar/ Sinar Harian
KLANG: "Masih terngiang lagi perbualan dengan Allahyarham, demikian luah ibu kepada Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, penunggang p-hailing yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.
Jamaliah Ismail, 53, berkata anak sulungnya itu sering menghubungi dirinya dan suami.
"Kali terakhir arwah hubungi kami berdua pada minggu lalu, dia ada bertanyakan khabar kami berdua, itu sahaja.
"Sebelum ini, arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan, sikapnya seperti biasa, seorang yang lembut dan baik terhadap kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada Sabtu.
Jenazah Allahyarham akan dimandi serta dikafankan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah Klang sebelum dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani. - Sinar Harian
BERITA LANJUT MENYUSUL
#pesawat terhempas #Elmina #ibu mangsa #penunggang motosikal
;