Pesawat tergelincir: LTSIP Kota Bharu kembali beroperasi

Muhafandi Muhamad
November 2, 2016 11:55 MYT
Semalam pesawat AirAsia jenis Airbus A320 tergelincir di landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, sejurus sebelum berlepas. - Gambar fail
Landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini yang ditutup sementara malam tadi susulan sebuah pesawat tergelincir, kembali beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi tadi.
Pesawat pertama mendarat adalah penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang tiba pada 7.50 pagi tadi.
Pihak LTSIP memaklumkan operasi mengalihkan pesawat jenis Airbus 320 milik AirAsia dari landasan selesai sepenuhnya pada jam 5.45 pagi tadi.
Pihaknya juga memaklumkan tiada kerosakan pada lantai landasan, manakala pesawat itu dialih menggunakan kren dan ditempatkan di ruangan menunggu.
Operasi mengalihkan pesawat berkenaan bermula sejurus pesawat tergelincir kira-kira pukul 10 malam tadi termasuk urusan memindahkan 183 penumpang yang terperangkap dalam pesawat ke terminal.
Punca kejadian itu akan disiasat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan badan bertanggungjawab.
Semalam pesawat AirAsia jenis Airbus A320 tergelincir di landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada jam 10.25 malam sejurus sebelum berlepas.
Kejadian berlaku ketika pesawat AK6443 dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur itu membuat pusingan 'u' di hujung landasan.
AirAsia dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan, kesemua penumpang dan anak kapal di atas pesawat selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
#A320 #AirAsia #AK6443 #landasan #Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra #tergelincir
;