Pesawat tentera Hercules mungkin terhempas kerana kegagalan enjin - Penyiasat
AFP
Julai 2, 2015 16:56 MYT
Julai 2, 2015 16:56 MYT
Pesawat tentera Hercules C-130 yang terhempas pada Selasa dan membunuh 142 orang kemungkinan besar mengalami kegagalan enjin.
Namun, pasukan tentera udara negara itu menafikan bahawa pesawat itu terlebih muatan.
Komander Agus Dwi Putranto berkata siasatan awal menunjukkan pesawat pengangkut yang berusia 51 tahun itu gagal untuk mencapai kelajuan yang mencukupi selepas satu daripada empat enjinnya berhenti berfungsi.
“Ada kemungkinan kipasnya telah terhenti. Bergerak pada kelajuan yang perlahan, pesawat itu membelok ke kanan dan terkena antena menara kawalan.
“Juruterbang telah diminta untuk berpatah balik tidak lama selepas berlepas. Ini bermakna ada masalah,” katanya.
Saksi kejadian itu berkata pesawat itu kelihatan senget dan mengeluarkan asap hitam sebelum ia terhempas ke arah sebuah rumah urut dan hotel di kawasan perumahan yang baru dibina.
Saudara-mara mangsa berkata mereka membayar antara 700,000 rupiah (RM198.70) dan satu juta rupiah (RM283.85) untuk terbang dengan pesawat malang itu.
Walau bagaimanapun, pihak tentera telah menafikan mengambil bayaran dan berjanji untuk menyiasat kejadian itu.
Setakat ini 63 mayat telah dikenal pasti, kata pegawai perubatan polis Arthur Tampi.
Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan, Sumatera Utara setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan.
Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.