Pesawat ringan terhempas di Klang: Unit Dron PDRM bantu cari mangsa

Sinar Harian
Februari 13, 2024 17:51 MYT
Dron digunakan pasukan polis dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa pesawat terhempas di Kapar, Klang. - Gambar/ Sinar Harian
KLANG: Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) digerakkan untuk menjalankan usaha mencari dua mangsa nahas melibatkan pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini pada Selasa.
Kenderaan membawa pasukan itu dilihat tiba kira-kira jam 4.20 petang dengan membawa alatan terdiri daripada dron dan beberapa peralatan lain.
Difahamkan usaha mencari kedua-dua mangsa terlibat masih lagi dijalankan setakat ini melibatkan 800 meter dari lokasi pesawat terhempas.
[TERKINI] Perkembangan kejadian pesawat ringan terhempas di Kapar
Pihak polis dilihat turut mengarahkan orang ramai supaya tidak memenuhi sekitar lokasi kejadian.
Sementara itu, beberapa kenderaan Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilihat memasuki sekitar kawasan lokasi nahas.
Difahamkan siasatan dijalankan unit dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) itu bagi mencari mangsa terlibat dalam nahas ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati operasi pencarian mangsa giat dijalankan dipercayai melibatkan satu hingga dua kilometer dari kawasan nahas.
Sebelum ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan mengesahkan kejadian melibatkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC.
Kenyataan itu turut menyatakan kejadian melibatkan dua penumpang termasuk seorang juruterbang namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini. - Sinar Harian
#pesawat terhempas di klang #pesawat terhempas di kapar #unit dron #identiti mangsa
;