Pesawat ringan terhempas di Klang: Saksi lihat sayap patah di udara
Pia Ernadya
Februari 13, 2024 18:08 MYT
Februari 13, 2024 18:08 MYT
KLANG: Kejadian pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, mengejutkan penduduk terutama saksi yang melihat sendiri ia terjunam dari udara.
Seorang saksi, Zul Hamka, 23, berkata ketika kejadian, dia sedang membuang sampah di hadapan rumah dan secara kebetulan melihat ke arah langit.
"Ketika itu azan zuhur berkumandang. Saya mendongak dan terlihat pesawat itu terbang di udara tanpa sebarang pergerakan yang luar biasa.
"Tiba-tiba sayap pesawat itu patah dan saya melihat ada percikan api. Kemudian ia terjunam ke arah kebun kelapa sawit.
"Saya segera menghubungi polis dan bomba dan bergegas ke kawasan kebun kelapa sawit itu," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Pada Selasa, sebuah pesawat ringan dilaporkan terhempas di Kampung Tok Muda, di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 1.56 tengah hari.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kemudian memaklumkan kejadian melibatkan dua mangsa.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa masih dijalankan di kawasan terlibat.