Pesawat ringan terhempas di Klang: Penduduk dengar letupan dua kali
Sinar Harian
Februari 13, 2024 17:32 MYT
Februari 13, 2024 17:32 MYT
KLANG: "Saya dengar seperti letupan di udara beberapa kali sebelum pesawat terbabit terjunam."
Demikian cerita salah seorang penduduk di lokasi pesawat ringan terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini pada Selasa.
Mustakim Saidi, 56, berkata, dia melihat kejadian itu ketika berada di luar rumah.
"Masa itu azan zuhur, saya nampak pesawat itu meletup lebih kurang dua kali sebelum terhempas.
"Tak terkata apa ketika itu, sebab terkejut dengan kejadian, dalam lima ke 10 minit kemudian baru orang kampung mulai ramai di lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Penduduk, Jinaidi Nasiran, 55, berkata, ketika kejadian dia sedang menukar tayar kereta di hadapan rumahnya yang terletak berdekatan lokasi kejadian.
"Saya tengah tukar tayar tiba-tiba dengar letupan sebelum melihat pesawat terbabit terjatuh.
"Saya hanya mampu bertakbir, memang tak sangka ia berlaku, setakat ini saya belum tahu keadaan mangsa, harap semuanya baik," katanya.
Pada Selasa, sebuah pesawat ringan dilaporkan terhempas di Kampung Tok Muda, di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 1.56 tengah hari.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan memaklumkan kejadian melibatkan dua mangsa. - Sinar Harian