Pesawat ringan terhempas di Cameron Highlands
Nazialita Geynna Maharan
Jun 22, 2016 15:59 MYT
Jun 22, 2016 15:59 MYT
Sebuah pesawat ringan terhempas berhampiran sebuah tokong di Tringkap, di sini, petang Rabu.
Juruterbang pesawat jenis G-164A9 itu, warga Australia Peter Hardy, 56 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan akibat impak pendaratan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Muhd Haziq Hazmi berkata saksi kejadian melaporkan terlihat pesawat berlegar di udara dan berpusing dua kali sebelum terhempas di cerun bukit.
"Kami menerima panggilan mengenai insiden berkenaan sekitar 1.35 petang dan apabila kami tiba di sana, mangsa telah pun dikeluarkan.
"Mangsa tidak mengalami kecederaan serius, hanya calar di lengan kiri dan bahagian badan dan kami telah melaksanakan pemeriksaan awalan untuk melihat sama ada terdapat letupan di pesawat berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Rabu.
Haziq berkata bomba dan polis masih lagi berada di kawasan pesawat berkenaan terhempas.
"Kami juga mendapat maklumat bahawa sebenarnya pesawat ringan dari Subang ini digunakan untuk menabur baja di ladang teh Sungai Palas," katanya lagi.
Tambahnya, mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini untuk rawatan lanjut.