Pesawat ringan mendarat cemas di tapak ECRL, dua individu selamat

Umavathi Ramayah
Jun 27, 2024 18:52 MYT
Pesawat bernombor pendaftaran 9M-ANA, dinaiki dua individu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 2.50 petang. - Foto: Bomba Selangor
KLANG : Sebuat pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 kendalian Kelab Penerbangan Subang melakukan pendaratan cemas di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Bandar Sultan Suleiman, Klang, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao memberitahu, juruterbang berusia 57 tahun dan seorang pelajar berusia 23 tahun yang berada dalam pesawat itu bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan sebelum mengalami kegagalan enjin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Vijaya Rao berkata, kes itu diserahkan kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazam Mahmud dalam satu kenyataan memberitahu, pesawat bernombor pendaftaran 9M-ANA itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 2.50 petang.
"Menara kawalan Subang menerima panggilan kecemasan lapan minit kemudian," katanya.
Norazam memberitahu, sehubungan itu, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCCM) CAAM di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan pada pukul 3.10 petang bagi tujuan koordinasi mencari dan menyelamat.
Kes itu katanya disiasat Bahagian XXIII Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.
#pendaratan cemas #pesawat ringan #CAAM #pusat kawalan trafik udara
;