Pesawat ringan buat pendaratan cemas di Kulai, juruterbang terselamat

Ernalisa Othman
November 22, 2020 14:11 MYT
Sebuah pesawat ringan dilaporkan membuat pendaratan cemas di kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Kulai, pagi tadi. - Foto BERNAMA
KULAI: Dua juruterbang pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza B5045B terselamat ketika melakukan pendaratan cemas di kilometer 47.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Sedenak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, juruterbang pertama, Dr Yang Kuang Ying, 52, dan pembantunya, Saleehullah Abdul Majid, 41, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow ketika ditemui memaklumkan, kedua-dua juruterbang disahkan mempunyai kebenaran untuk melakukan penerbangan dan hanya ingin melengkapkan rekod penerbangan rutin mereka.
“Saya sudah tengok, memang ada kebenaran untuk mereka dapatkan ‘flying hours’ biasa. Mereka membuat ‘routine fly’ biasa.
‘Mereka membuat (penerbangan) dari Singapura ke Melaka dan balik. Selepas itu buat satu pusingan lagi lepas buat dari Singapura ke Melaka balik untuk dapatkan 'flying hours',” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya lagi juruterbang pertama Dr Yang Kuang Ying mempunyai pengalaman 12 tahun dalam penerbangan.
Difahamkan pesawat ringan itu berlepas dari Lapangan Seletar Singapura dan ingin menuju lapangan Batu Berendam Melaka.
Beliau berkata kes berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk siasatan lanjut.
#pesawat #pesawat ringan #pendaratan cemas #Kulai #pesawat terhempas
;