Pesawat pejuang TUDM terhempas: Seorang juruterbang terkorban, seorang cedera - Hishammuddin
Astro Awani
November 16, 2021 00:09 MYT
November 16, 2021 00:09 MYT
BUTTERWORTH: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di sini, malam ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata TUDM telah diarahkan memberikan laporan lebih terperinci dengan segera selain menyiasat punca kejadian jam 10.07 malam itu.
"Baru terima panggilan daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.
"Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.
"Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera.
"Kementerian Pertahanan telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat," katanya dalam akaun Twitternya malam ini.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk pada jam 10.07 malam di kawasan landasan pangkalan berkenaan.