Pesawat MASwings tergelincir ketika buat pendaratan di Marudi
Astro Awani
Ogos 27, 2016 20:33 MYT
Ogos 27, 2016 20:33 MYT
Sebuah pesawat milik MASwings dilaporkan tergelincir dari landasan ketika membuat pendaratan di Lapangan Terbang Marudi, di sini pada petang Sabtu.
Dalam satu kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak (JBPNS) pada Sabtu, dalam kejadian jam 4.05 petang Sabtu itu, pesawat jenis Twin Otter (DHC6-400) milik MASwings itu sedang dalam perjalanan dari Miri ke Marudi, Sarawak.
Pesawat tersebut tersasar dari landasan ketika membuat pendaratan di Lapangan Terbang Marudi.
Ketiga-tiga orang penumpang dan dua kru pesawat dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Mereka juga berjaya mencari jalan keluar dari pesawat dengan sendiri.
Siasatan awal bagaimanapun, mendapati pesawat terlibat tidak mengalami sebarang kerosakan.
Bernama melaporkan MASWings dalam kenyataan ringkas hari ini berkata, Lapangan Terbang Marudi ditutup sementara selepas pesawat MH3568 Twin Otter (DHC6) tergelincir kira-kira pukul 3.55 petang.
Pesawat itu berlepas dari Miri kira-kira pukul 3.40 petang.
"Ketika ini pesawat itu tidak dibenarkan terbang bagi membolehkan pemeriksaan dan penyelenggaraan dilakukan sebelum kembali digunakan," tambah kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, MASwings terpaksa melakukan perubahan kekerapan penerbangan bagi laluan Miri-Marudi berikutan penutupan landasan tersebut.
Pesawat Twin-Otter itu digunakan bagi Perkhidmatan Udara Kawasan Luar Bandar MASwings di Sarawak.