Pesawat latihan tertanggal tayar semasa mendarat - CAAM

Astro Awani
Januari 23, 2024 18:07 MYT
Pesawat latihan dengan nombor pendaftaran 9M-ITX telah dialihkan dari landasan pada pukul 3.35 petang dan dibawa ke hangar berhampiran untuk pemeriksaan lanjut - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat yang sedang menjalani latihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dipercayai gagal mendarat dengan baik hingga menyebabkan tayar hadapan tertanggal dalam kejadian pada jam 3.07 petang, hari ini.
Kejadian tersebut disahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud, insiden melibatkan pesawat latihan jenis Piper PA-28-181 yang dikendalikan oleh International Aero Training Academy (IATAC).
Beliau menambah, pesawat latihan dengan nombor pendaftaran 9M-ITX itu bagaimanapun telah dialihkan dari landasan pada pukul 3.35 petang dan dibawa ke hangar berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
"Insiden ini melibatkan seorang juruterbang pelatih dan beliau dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Lapangan terbang tersebut kembali beroperasi pada pukul 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan," katanya dalam kenyataan itu pada Selasa,
Norazman berkata siasatan lanjut berhubung insiden itu dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.
#CAAM #pesawat gagal mendarat #pesawat latihan #tayar tertanggal
;