Pesawat lakukan pendaratan cemas kerana masalah teknikal - CAAM
Ridauddin Daud
November 22, 2020 15:41 MYT
November 22, 2020 15:41 MYT
KUALA LUMPUR: Juruterbang membawa pesawat ringan yang melakukan pendaratan cemas di lebuh raya PLUS berhampiran Sedenak, Johor pada Ahad terpaksa berbuat demikian selepas pesawat jenis Beechcraft Model 35 Bonanza itu mengalami masalah teknikal.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata, juruterbang itu sempat menghubungi Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor pada jam 10.40 pagi sebelum melakukan pendaratan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, dua juruterbang warganegara Singapura yang ada dalam pesawat itu memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru kerana pesawat itu mengalami masalah.
“Pesawat persendirian yang dikendalikan oleh Premier Air Singapore itu berada dalam penerbangan dari Senai ke Melaka.
“Dua juruterbang warganegara Singapura dilaporkan berada di dalam keadaan yang stabil dan pesawat telah dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya.
“Pasukan mencari dan menyelamat telah menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan. Siasatan akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia,” katanya.
Astro AWANI pada Ahad melaporkan dua juruterbang pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza B5045B terselamat ketika melakukan pendaratan cemas di kilometer 47.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Sedenak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, juruterbang pertama, Dr Yang Kuang Ying, 52, dan pembantunya, Saleehullah Abdul Majid, 41, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow ketika ditemui memaklumkan, kedua-dua juruterbang disahkan mempunyai kebenaran untuk melakukan penerbangan dan hanya ingin melengkapkan rekod penerbangan rutin mereka.
“Saya sudah tengok, memang ada kebenaran untuk mereka dapatkan ‘flying hours’ biasa. Mereka membuat ‘routine fly’ biasa.
‘Mereka membuat (penerbangan) dari Singapura ke Melaka dan balik. Selepas itu buat satu pusingan lagi lepas buat dari Singapura ke Melaka balik untuk dapatkan 'flying hours',” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
#CAAM
#pesawat ringan
#pendaratan cemas
#Johor Bahru
#PLUS
#lebuh raya
#pesawat
#penerbangan
#kemalangan
#siasatan
#Kulai
#polis
#Astro Awani
#Johor
#Kapten Chester Voo