Pesawat Israel hanya lintas ruang udara, tidak dibenar berlegar atau mendarat - MOT

Ridauddin Daud
Mei 29, 2021 15:32 MYT
Menurut MOT, tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengesahkan pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel melalui ruang udara negara baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, MOT berkata pesawat itu dibenarkan melalui ruang udara Malaysia mengikut peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Berdasarkan peraturan ICAO yang dianggotai Malaysia, negara meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara negara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan Malaysia.
Begitupun, kementerian menegaskan pesawat milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) itu tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia.
“Tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.
“Pihak berkuasa penerbangan Malaysia telah mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di destinasinya, Singapura,” menurut kenyataan itu.
Pesawat Israel | Hanya benarkan lintas udara, dilarang berlegar atau mendarat
Untuk rekod, pesawat awam tersebut berlepas dari Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada Rabu, 19 Mei 2021 jam 2.55 pagi.
Media sebelum ini melaporkan sebuah pesawat didakwa pesawat pengintip dari Israel melintasi ruang udara Malaysia beberapa hari lepas.
Situasi itu menghadirkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negara ini.
#Israel #pesawat #ruang udara #Lintas #Malaysia #Singapura #penerbangan #pengintip #syarikat #ICAO #kebenaran #Pesawat pengintip
;