Sebuah pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing yang hilang sejak kelmarin berdekatan Pantai Teluk Ketapang.

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Zainolabidin Jusoh berkata tinjauan udara menerusi pesawat dilakukan selain pencarian di laut dan kawasan pesisir pantai merangkumi radius sehingga 20 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu hingga ke Pulau Kapas.

"Lebih 20 aset termasuk bot nelayan tempatan dan kapal milik APMM digerakkan bagi mencari mangsa dari lokasi terakhir beliau dilihat sekitar jarak 15 batu nautika," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Zainolabidin, pencarian yang masuk hari ketiga hari ini menyaksikan kekuatan dipertingkatkan kepada 154 melibatkan polis, bomba Angkatan Pertahanan Awam dan APMM.

Beliau berkata dalam pemantauan udara yang dilakukan semalam, pihaknya turut menjumpai sehelai jaket keselamatan di tengah laut namun hasil siasatan mendapati ia bukan milik mangsa.

-- BERNAMA