Pesawat APMM lakukan 21 jam penerbangan dalam tempoh lima hari padam kebakaran di Indonesia

Bernama
Oktober 15, 2015 14:44 MYT
Pesawat udara milik APMM, Bombardier CL 415 menceduk punca air dari Sg Lumpur untuk memadam kebakaran pada hari keempat operasi Ops-Jerebu dalam misi bantuan memadam kebakaran di Sumatera Selatan semalam. - Foto BERNAMA
Pesawat Bombardier CL 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan 21 jam penerbangan dengan melepaskan 546,000 liter air di kawasan kebakaran seluas 60 batu nautika persegi di Sumatera Selatan, Indonesia dalam tempoh lima hari penugasan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Che Hassan Jusoh berkata pesawat itu berupaya melaksanakan antara 15 dan 20 kali pengeboman air sehari dengan menceduk air dari Sungai Lumpur, yang terletak 70 batu ke Tenggara Palembang, walaupun jarak penglihatan terhad.
"Hanya mengambil masa tujuh minit bagi setiap sesi penyedutan air hingga pengeboman air, pesawat Bombardier melakukan operasi memadam kebakaran di kawasan terbabit dengan lancar dan berkesan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sejak Jumaat lepas, APMM menghantar sebuah pesawat Bombardier CL 415 dan sebuah helikopter AS 365 N3 Dauphin yang ditempatkan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II, Palembang untuk menyertai operasi memadam kebakaran dan dijadual kembali ke tanah air esok.
Che Hassan turut berada di Palembang, Indonesia bagi meninjau sendiri keberkesanan operasi bagi setiap penerbangan Bombardier ke kawasan kebakaran tiga kru terlibat iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan kru kabin.
Che Hassan berkata pihak berkuasa Indonesia amat menghargai bantuan kerajaan Malaysia memadamkan kebakaran di Palembang.
"Secara rasminya bantuan ini akan tamat esok tetapi pihak berkuasa Indonesia berhasrat untuk memohon operasi ini diteruskan oleh APMM sehingga November ini," katanya.
#APMM #Bombardier #Indonesia #jerebu #Sumatera Selatan #Sungai Lumpur