Pesawah tuntut kerajaan wujudkan semula LPN

Astro Awani
Disember 7, 2022 20:08 MYT
Mohd Fuad Yaacob hanya dengan penubuhan semula LPN, ia dapat mengatasi konflik kepentingan petani. - Gambar/ Pesawah
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menuntut kerajaan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) supaya hak pesawah terhadap pasaran beras tempatan yang lebih adil dapat terlaksana.
Pengerusinya, Mohd Fuad Yaacob berpendapat hanya dengan penubuhan semula LPN dapat mengatasi konflik kepentingan itu.
"Beras yang diimport LPN bolehlah dibekalkan kepada syarikat-syarikat tempatan secara adil.
"Lebih penting lagi, LPN tidak ada masalah untuk mengurangkan import beras untuk meningkatkan permintaan beras tempatan.
"Keuntungan daripada pengimportan beras, dengan mudah boleh digunakan oleh LPN untuk urusan pentadbiran, skim-skim pembangunan pesawah dan memperkasa agensi berkaitan pesawah padi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu
Beliau berkata, Pesawah menyokong usaha baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengurangkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Mohd Fuad bagaimanapun berkata, berdasarkan cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kerajaan mahu melantik lebih banyak syarikat pengimport beras untuk memecahkan monopoli Bernas.
Menurutnya, tindakan ini adalah tidak tepat kerana ia hanya akan menyebabkan lebih banyak lambakan beras import dan tidak menjamin tanggungjawab sosial terhadap petani terlaksana.
"Ini kerana, syarikat-syarikat ini, sepertimana Bernas masih lagi terikat dengan konflik kepentingan antara keuntungan mengimport beras asing dengan membangunkan lebih banyak tanaman padi tempatan dan meningkatkan permintaan beras tempatan dengan mengurangkan import," tambahnya lagi.
LPN diwujudkan pada 1971 dan dibubarkan selepas Bernas diswastakan pada 1996.
#pesawah #BERNAS #Lembaga Padi dan Beras Negara #Anwar Ibrahim
;