Pesawah subahat seleweng baja ditahan SPRM
Hilal Azmi
November 22, 2017 11:24 MYT
November 22, 2017 11:24 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menangkap seorang pesawah kerana dipercayai bersubahat bersama seorang Pengurus Projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Melaka menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) berjumlah kira-kira RM2.54 juta sejak awal tahun lalu.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam di Pejabat SPRM Negeri Melaka selepas hadir untuk memberi keterangan, semalam.
Menurut sumber, suspek bersama pengurus projek terbabit telah membuat usahasama mengusahakan projek penanaman padi seluas 55 ekar (22.2 hektar) yang dipajak di Merlimau.
Tambah sumber, SPRM turut menyita sebuah kereta mewah jenis Audi A4 disita yang dipercayai dibeli dengan menggunakan wang hasil jualan baja.
Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan tersebut dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.