PeSAWAH serah memorandum di Parlimen, senaraikan 14 saranan untuk kerajaan

Astro Awani
Mac 17, 2022 19:17 MYT
Beberapa isu yang dibangkitkan PeSAWAH adalah berkaitan estet padi, akta benih, kebocoran subsidi dan monopoli dalam industri.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menghantar satu memorandum di Parlimen pada Khamis bertujuan menyuarakan aduan agar pemimpin cakna dan faham masalah dihadapi mereka.
Seramai 40 orang petani dari Perlis, Kedah, Perak, Melaka dan Johor menghantar memorandum tersebut yang diketuai Pengerusinya, Muhammad Fuad Yaacob.
Dalam memorandum tersebut, PeSAWAH menyenaraikan isu membelenggu mereka dan saranan buat kerajaan.
Menurut Muhammad Fuad, antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan estet padi, akta benih, kebocoran subsidi dan monopoli dalam industri.
“Pesawah kecewa dengan segala tohmahan yang diberikankepada golongan petani kononya para petani di Malaysia tidak berpengetahuan dan gagal menjamin bekalan makanan negara.
“Sementara itu para pelobi dan vendor terus mengambil kesempatan dan menindas pesawah.
“Hakikatnya petani telah bersawah turun-temurun menunjukkan kesinambungan ilmu dan pengalaman bersawah padi yang luas dan intim dengan ekosistem padi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam memorandum sama, PeSAWAH mencadangkan sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 100 peratus dalam setiap Rancangan Malaysia (RMK).
Selain itu, mereka juga menyarankan kerajaan menghentikan Projek Estet Berskala Besar (Smart SBB) sebaliknya menyokong dan meramaikan usahawan petani individu, koperasi, persatuan dan syarikat lokal.
“PeSAWAH juga mencadangkan agar rancangan untuk Menyertai Konvensyen UPOV 91 dan penggubalan RangUndang-Undang Kualiti Benih Tanaman dihentikan.
“Sebaliknya, kerajaan perlu memperkasa hak petani untuk menyimpan, memproses,berkongsi dan menjual benih secara bukan komersial.
“Subsidi input pertanian diberikan terus kepada pesawah dalam bentuk 'kupon' melalui satu mekanisme atau sistem yang dipersetujui bersama antara kerajaan dan petani,” katanya menurut memorandum tersebut.
Berikut merupakan saranan lain daripada PeSAWAH buat kerajaan:
1. Bantuan wang ehsan sementara menunggu padi dituai yang pernah diterima sebelum ini oleh pesawah dikembalikan semula.
2. Penetapan potongan pemutuan padi melalui potongan pemutuan sebenar dengan had tidak melebihi 17 peratus dan kawal seliaan pegawai penguatkuasa dari pihak kerajaan.
3. Wujudkan tiga gred harga padi iaitu harga minimum terjamin yang berbeza bagi padi gred A, B dan C.
4. Bajet infrastruktur dan penyelenggaraan yang dipotong dalam belanjawan sebelum ini dikembalikan semula dan penetapan jadual pengairan yang dinamik dibuat secara bersama.
5. Perkasakan unit lapangan kawalan penyakit dan perosak serta agronomik tanah dengan mengambil lebih banyak pegawai di satu-satu kawasan supaya unit ini berfungsi dengan lebih baik.
6. Struktur semula pentadbiran agensi dalam industri padi dan beras dengan menubuhkan semula satu agensi atau entiti kerajaan iaitu Lembaga Padi dan Beras Negara.
7. Batalkan konsesi BERNAS sebagai pengimport tunggal dan LPN diberikan tanggungjawab mengimport beras dan membekalkan kepada pemborong tempatan.
8. Utamakan beras tempatan dalam penyediaan beras ‘stockpile’ negara dan penggunaan beras tempatan dalam semua tender-tender kerajaan serta pastikan kawalan ketat dilaksanakan terhadap kemasukan beras import.
9. Mewujudkan kuota pembelian padi oleh kilang-kilang beras berdasarkan kapasiti ‘breakeven’ kilang masing-masing. Kerajaan juga perlu menggalakkan petani terlibat dengan kegiatan nilai tambah melalui kilang berskala kecil.
10. Kerajaan persekutuan menghalang pertukaran syarat guna tanah pertanian padi kepada status lain yang kini dilihat seperti dilakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan negeri.
#sawah padi #pesawah #Parlimen #memorandum
;