Pesawah rugi akibat pencemaran air Sungai Kereh

Bernama
Mac 8, 2021 04:01 MYT
Pesawah, Mat Saad Nayan, menunjukkan pokok padi rosak akibat air pencemaran sisa khinzir yang memasuki sawah melalui Sungai Kereh. - Foto BERNAMA
TASEK GELUGOR: Padi rosak dan hasilnya berkurangan sehingga menyebabkan kerugian, itu yang perlu di tanggung pesawah ekoran masalah pencemaran di Sungai Kereh, yang tidak berkesudahan.
Ini berikutan pembuangan air najis khinzir yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat dengan jarak kira-kira lima kilometer dari sini.
Ketua Unit Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena Ahmad Sulaiman, 71, berkata masalah pencemaran itu bukan baharu malah berlarutan sejak lebih 40 tahun lepas dan ia semakin teruk kebelakangan ini sehingga menyebabkan ramai pesawah di sini menanggung kerugian setiap kali musim menuai.
"Kalau musim kemarau ketika menanam padi, kami terpaksa mendapatkan bekalan air daripada Sungai Kereh...memang padi akan rosak malah ada yang padi tiada isi (beras), pesawah sudah tidak tahan dengan masalah ini yang berlarutan sejak sekian lama, kami berharap sangat ada jalan penyelesaian," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Perkara tersebut turut diakui seorang pesawah, Md. Saad Nayan, 81, yang terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas padi ditanamnya rosak sejak enam musim penanaman padi lepas berikutan masalah pencemaran air di Sungai Kereh.
Md. Saad, yang merupakan pesawah sejak 40 tahun lalu, berkata sejak tiga tahun lepas juga, beliau terpaksa mengeluarkan simpanannya untuk menampung kos menanam padi termasuk membayar sewa sawahnya kerana hasil yang tidak seberapa berikutan pencemaran tersebut.
"Habis modal bayar untuk tanam padi, tapi tanaman banyak yang rosak, duit yang saya simpan RM20,000 hingga RM40,000 dulu dah dikeluarkan untuk tanggung kos...pihak berkuasa yang datang melihat dan ambil sampel air di sungai itu tapi masalah masih sama, bukan sahaja bau busuk tapi sawah padi rosak...malah ramai juga penduduk yang mengalami gatal-gatal badan akibat pencemaran tersebut," katanya.
Kekecewaan yang sama turut diluahkan oleh pesawah Hishamudin Md Isa, 42, yang mendakwa pencemaran serta bau busuk dari air yang mengalir di Sungai Kereh itu sudah terlalu lama berlaku, namun penyelesaian masih tidak menunjukkan tanda berakhir hingga kini.
Beliau juga menanggung kerugian apabila air dari Sungai Kereh menjadi tercemar dan merosakkan hasil tanaman padinya malah tahun ini hanya memperoleh enam tan padi berbanding musim sebelumnya kira-kira 10 tan hasil padi.
"Saya ada 12 ekar bendang (sawah) dan dulu hasil padi yang saya dapat sekitar 12 tan, kemudian ia semakin berkurangan jadi 10 tan dan musim kali ini dapat enam tan sahaja..hasil padi yang lain rosak serta tiada isi, sedangkan saya guna benih yang baik serta racun yang mahal iaitu RM2,000 bagi setiap ekar.
"Kalau tanya pesawah di sini memang semua kerugian malah ada yang berhutang dengan tauke mesin padi serta tuan tanah sebab hasil padi tak banyak mana...ada kawan saya cuma dapat 800 kilogram sahaja untuk dua ekar sawahnya. Berapa sahaja dia akan dapat (hasil padi) kalau setiap tan kami menerima RM1,500 sahaja.
"Bayangkan isu ini selalu mendapat perhatian, pelbagai pihak dan agensi datang ke kawasan ini melihat sendiri, namun selepas itu tiada tindakan selanjutnya diambil dan pencemaran sungai di kampung ini masih terjadi," katanya.
-- BERNAMA
#Padi #sawah #bendang #pencemaran #Sungai Kereh #pokok sena #kerugian pesawah #hasil padi #pencemaran air
;