Pesawah kerugian lebih RM57 juta akibat banjir
Vivi Sumanti
Mac 21, 2022 12:57 MYT
Mac 21, 2022 12:57 MYT
KOTA BHARU: Kerugian yang dialami pesawah di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melebihi RM57 juta disebabkan banjir hujung bulan Februari lalu.
Pengerusi KADA , Datuk Kamarudin Md Nor berkata, sektor pertanian terjejas teruk disebabkan banjir baru-baru ini, akibat sawah ditenggelami air banjir.
"Kita mengalami kerugian di seluruh kawasan pertanian yang kita tidak jangkakan ia berlaku... di luar musim, yang mana kebanyakan petani baru memulakan musim baharu," katanya.
"Secara keseluruhan, banjir melanda kawasan pertanian membabitkan jajahan Pasir Mas, Tumpat, Jeli dan lain-lain," katanya kepada Astro AWANI di pejabatnya di sini hari ini.
Jelasnya, kesemuanya membabitkan 13,326 hektar kawasan padi yang ditenggelami air, dan kira-kira 3,346 petani.
"Petani mengalami kerugian berbeza-beza, kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai 10 hektar tanah sawah, ada yang kurang... ada yang lebih 50 hektar," katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata bancian kerugian itu merupakan penilaian awal dan penilaian secara terperinci akan dibuat sekali lagi selepas sawah yang digenangi air sudah kering.
"Kebanyakan pesawah yang mengalami kerugian baru memulakan musim, dengan menabur benih, membaja dan meracun.
"Disebabkan banjir berlaku di luar musim (Februari), ramai yang terkesan kerana kebiasaannya di Kelantan banjir melanda bermula Oktober, November dan berakhir pada Januari," katanya.
KADA, kata Kamarudin, masih membuat penilaian dan bancian sebelum pampasan kepada petani diberikan berdasarkan kiraan keluasan dan kerosakan.
Proses untuk bayaran pampasan mengambil masa sedikit sementara menunggu bancian lengkap yang sedang dilakukan.
Banjir buruk yang melanda Rantau Panjang dan sebahagian kecil kawasan Tumpat pada akhir Februari lepas menyebabkan sawah penduduk ditenggelami air sedalam lebih 2 meter.