Pesara wanita rugi RM3.839 juta jadi mangsa phone scam
Bernama
September 14, 2023 00:49 MYT
September 14, 2023 00:49 MYT
SHAH ALAM: Seorang wanita pesara syarikat swasta di Subang Jaya menanggung kerugian RM3.839 juta selepas menjadi mangsa sindiket 'phone scam' dengan mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata wanita berusia 70 tahun itu menerima satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali pada November tahun lalu dan memperkenalkan diri sebagai pegawai syarikat insurans serta menyatakan terdapat tuntutan insurans yang dibuat menggunakan nama pengadu.
"Pengadu menafikan yang beliau ada membuat tuntutan insurans tersebut. Panggilan kemudian telah disambungkan kepada pihak polis dan pihak polis menyatakan nama pengadu terlibat dalam kes jenayah aktiviti pengubahan wang haram dan pengadu boleh ditangkap," katanya, dalam kenyataan, pada Khamis.
Beliau berkata pemanggil kemudian menyatakan untuk mengesahkan pengadu tidak terlibat dengan aktiviti jenayah dan pihak polis perlu menyiasat akaun dan wang hasil yang dimiliki oleh pengadu serta mengarahkan wanita itu membuka akaun bank dengan mendaftar nombor telefon yang diberikan oleh suspek untuk urusan perbankan dalam talian bagi akaun yang dibuka tersebut.
"Pengadu kemudian diminta untuk menyerahkan nombor akaun dan butir-butir perbankan akaun bank itu kepada suspek supaya akaun pengadu dan hasil pendapatannya mudah untuk dikawal bagi tujuan siasatan.
"Wanita itu telah diarahkan untuk memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan dan tidak dibenarkan untuk mengakses akaun pengadu selama beberapa bulan untuk tujuan siasatan dan kesemua resit kemasukkan wang dalam akaun bank tersebut perlu dihapuskan atau dibuang," katanya.
Hussein berkata pengadu yang dalam keadaan panik, ketakutan dan kegusaran telah terpedaya dan memindahkan kesemua wang dan gadaian emas miliknya berjumlah RM3.839 juta ke dalam akaun yang baru dibuka tersebut.
"Semalam, pengadu telah pergi ke bank dan membuat semakan akaun bank berkenaan dan mendapati akaun tersebut hanya berbaki RM79.59 dan baru menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan," katanya.
Justeru, katanya, pihak polis sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melayan sebarang panggilan telefon dari orang yang tidak dikenali serta menegaskan tiada panggilan telefon dari satu syarikat, agensi atau jabatan kerajaan yang boleh dipindahkan dari satu pihak ke pihak yang lain.
"Pihak polis juga ingin menegaskan tidak menjalankan apa-apa siasatan secara dalam talian lebih-lebih lagi mengarahkan orang ramai memindahkan wang mereka ke dalam mana-mana akaun bank untuk tujuan siasatan," katanya.
-- BERNAMA