Pesara wanita rugi RM128,037 ditipu Macau Scam

Amir Hamzah Nordin
Disember 24, 2022 03:59 MYT
Seorang pesara wanita berusia 60-an kerugian sebanyak RM128,037 ditipu sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai mahkamah Pulau Pinang.
KUANTAN: Seorang pesara wanita berusia 60-an kerugian sebanyak RM128,037 ditipu sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai mahkamah Pulau Pinang.
“Suspek memaklumkan kepada mangsa kononnya mempunyai saman mahkamah kerana tidak membayar tunggakan ‘Touch n Go’ berjumlah RM11,800 pada 14 Disember lalu.
“Kemudian mangsa telah disambungkan ke beberapa individu yang menyamar sebagai polis dan individu tertentu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Ramli, selain itu, suspek telah memberitahu mangsa turut mempunyai rekod kes jenayah dan meminta untuk memindahkan wang bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan
“Mangsa kemudian telah mengikut setiap arahan suspek dan mengalami kerugian sebanyak RM128,037.
“Polis Kontinjen Pahang menasihat orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan membuat semakan terperinci terlebih dahulu sebelum bertindak,” katanya.
Jelas beliau, orang ramai juga dinasihatkan supaya jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad bank ATM mahupun nombor TAC kepada pihak lain untuk digunakan.
#pesara wanita rugi #Macau Scam #tunggakan Touch n Go #menyamar