Pesara wanita di Kerian kerugian RM485,000 ditipu phone scam
Bernama
September 12, 2023 10:50 MYT
September 12, 2023 10:50 MYT
IPOH: Seorang wanita warga emas di daerah Kerian mengalami kerugian RM485,000 akibat terpedaya dengan penipuan panggilan telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita berusia 72 tahun itu yang merupakan seorang pesara swasta, membuat laporan polis pada pukul 11.40 pagi semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki pada 4 Ogos lalu, yang mendakwa dari sebuah syarikat penghantaran kononnya mangsa ada membuat penghantaran bungkusan yang tidak berjaya dihantar kepada penerima.
"Suspek turut memaklumkan bungkusan tersebut mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan dan kad ATM. Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
"Mangsa kemudiannya telah disambungkan panggilan kepada dua individu yang menyamar sebagai pegawai polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Ipoh dan Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata mangsa telah diperdaya dengan dituduh terlibat berkaitan kes pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram, serta diugut akan ditangkap dan dipenjarakan.
"Mangsa yang ketakutan kemudiannya telah bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh suspek, dengan memindahkan kesemua wang milik mangsa ke dalam akaun yang diberikan suspek, bagi mengelakkan daripada wang mangsa dirampas dan dibekukan," katanya.
Mohd Yusri berkata suspek turut berjanji untuk memulangkan wang tersebut setelah siasatan selesai dan suspek turut mengarahkan mangsa untuk tidak memaklumkan perkara ini kepada sesiapa, kononnya bagi mengelakkan siasatan terganggu.
"Bermula 8 Ogos sehingga 6 Sept lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 34 kali pindahan wang di mesin ATM sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal di Pulau Pinang ke dalam 11 akaun bank milik seorang individu.
"Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah perbuatan mangsa tersebut dicurigai oleh anak saudara, yang datang melawat sewaktu mangsa ingin keluar membuat pindahan wang berikutnya dan menceritakan segalanya setelah didesak oleh keluarga dan membuat laporan polis," katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
-- BERNAMA