Pesara TNB meninggal dunia ketika memandu

Astro Awani
Disember 3, 2019 19:56 MYT
Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Waja bersama rakannya berusia 64 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Setiu ke Batu Rakit. - Foto Astro AWANI
Seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) meninggal dunia di dalam kereta yang dipandunya ketika dalam perjalanan pulang selepas memesan bekalan arang.
Kejadian berlaku di Jalan Merang berhampiran Kampung Baru Merang, pada kira-kira jam 8.30 pagi Selasa.
Mangsa, Din Abdullah, 66 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja bersama rakannya berusia 64 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Setiu ke Batu Rakit.
Mangsa yang mengadu dahaga, berhenti di tepi jalan dan meminta rakannya untuk menggantikannya.
Bagaimanpun, dia kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum kenderaan berkenaan terhenti apabila mangsa tidak sedarkan diri.
Rakan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan bergegas meminta bantuan penduduk berhampiran dan menghubungi ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, seorang saksi, Azahari Alias, 43 tahun berkata dia melihat kereta itu dipandu sangat perlahan sebelum rakan mangsa memaklumkan mengenai kejadian itu.
"Saya nampak dia, di depan kedai depan rumah tu. Dia berhenti kereta, dan kawan dia minta tolong dan saya pergi ke situ.
"Saya tengok dah tak ada dah (meninggal dunia). Biru habis dah kaki dan tangan, tetpai dia sempat berhentikan kereta," katanya.
Mangsa yang beralamat di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, Kuala Nerus dikatakan menghidap penyakit jantung dan beberapa penyakit kronik lain.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Burhanuddin Mustafa ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Jenazah kemudiannya dihantar ke unit forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.
#Azahari Alias #Din Abdullah #Hospital Setiu #Kampung Baru Merang #meninggal dunia #penyakit jantung #pesara Tenaga Nasional Berhad #Pesara TNB #Polis Daerah Setiu #Setiu
;