Pesara tentera zahir semangat Hari Kebangsaan menerusi Kembara Solo Hijrah Merdeka
Bernama
Ogos 8, 2022 05:00 MYT
Ogos 8, 2022 05:00 MYT
JOHOR BAHRU: Setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan, rakyat Malaysia akan tampil dengan pelbagai cara menzahirkan semangat patriotik dan rasa cinta mereka kepada negara.
Bagi seorang pesara tentera, Murad Mohd Kassim, 52, beliau memilih misi mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan menunggang motosikal secara solo dan memulakan misinya dari kediamannya di Presint 5, Putrajaya pada 6 Julai lepas.
Murad yang juga pendayung kayak solo negara berkata hasrat tersebut telah lama dirancang dan beliau ketika ini teruja serta bersemangat untuk merealisasikan Kembara Solo Hijrah Merdeka 2022/1444H yang berbaki kira-kira 1,000 kilometer dan 19 azan perlu diilaungkan dalam memenuhi impiannya untuk melaungkan azan di 99 masjid.
Pernah berkhidmat di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum bertukar ke Bahagian Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Murad berkata Johor merupakan negeri kelapan yang dikunjunginya sebelum ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.
"Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim di Larkin, di sini antara dua lokasi utama yang ingin saya kunjungi dalam misi ke-11 kali ini. Saya ingin mengimbau nostalgia ketika menjadi pelajar di sini pada 1998 hingga 2001.
"Di sinilah permulaan saya mengenali sukan kayak di bawah bimbingan pensyarah, Mohamad Jasa Sirat yang memberi tunjuk ajar tentang kayak. Dari situlah saya berazam untuk mencipta nama di persada dunia untuk menjadi seorang pendayung kayak solo negara," katanya yang ditemui di pekarangan Surau Jawhar, IPG Kampus Temenggong Ibrahim, baru-baru ini.
Mengenai kembara itu, Murad berkata perjalanannya dari Perlis ke Johor Bahru mengambil masa lapan hari dan turut singgah di 84 masjid dan surau.
Menurutnya, kembara solo yang dijangka berakhir hari ini di Kelantan, masih berbaki kira-kira 1,000 kilometer.
Mengenai perbelanjaan sepanjang kembara tersebut, Murad berkata beliau hanya memperuntukkan kira-kira RM1,000 bagi kos penginapan, makan minum dan kecemasan.
Beliau berkata selain mendekatkan diri dengan Allah SWT, kembara itu juga disifatkan sebagai disiplin buat dirinya untuk sentiasa istiqamah dalam melaksanakan solat fardu lima waktu berjemaah dan solat Jumaat di samping menghayati erti kemerdekaan.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tunjuk rasa cintakan negara dengan melakukan sesuatu yang boleh membanggakan negara kita. Erti merdeka bagi saya adalah bebas untuk membuat sesuatu perkara yang mendatangkan manfaat kepada individu, keluarga dan negara," katanya.
Pada 2019, Murad diiktiraf oleh Malaysia Book of Records apabila berjaya menamatkan Ekspedisi Kayak Solo Melawan Arus Sungai Perak sejauh 350 kilometer.
-- BERNAMA
#pesara tentera
#Hari Kebangsaan
#Kembara Solo Hijrah Merdeka
#Murad Mohd Kassim
#Rejimen Askar Melayu Diraja