Pesara tentera maut digilis lori
Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2022 04:32 MYT
Januari 27, 2022 04:32 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang pesara tentera maut digilis lori dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Selambau - Jeniang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 8.50 malam itu mangsa berusia 62 tahun maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Katanya, kejadian melibatkan dua buah motosikal dan sebuah lori.
“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Sym E Bonus datang dari arah Teloi dipercayai terus keluar dari simpang.
“Lori yang datang dari arah Bukit Selambau tidak sempat membrek lalu merempuh motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Jelas Adzli, pesara tentera itu maut di tempat kejadian selepas digilis lori terbabit manakala seorang lagi mangsa iaitu remaja 19 tahun mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.