Pesara tentera maut dalam kejadian samun bersenjata

Raffi Bachik
Julai 15, 2017 09:52 MYT
Abdul Rahman Pileh, 60 tahun meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di tempat kejadian selepas dipercayai ditetak di leher.
Seorang pesara tentera ditemukan maut di ruang tamu rumah manakala isterinya parah dalam kejadian samun bersenjata di rumah mereka, di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang, Melaka, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, pesara Briged 9 Para, Abdul Rahman Pileh, 60 tahun meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di tempat kejadian selepas dipercayai ditetak di leher dengan senjata tajam dipercayai parang.
Manakala isterinya Sabturiah Lakidau, 59 tahun, cedera parah dipercayai ditumbuk pada mulut, dagu dan leher selain pergelangan tangannya turut ditetak.
Seorang suspek yang dipercayai jiran berhampiran kediaman mangsa yang merupakan anggota tentera yang baharu menetap kira-kira sebulan di kawasan perumahan itu ditahan pihak polis kurang dua jam dari waktu kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika ditemui mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun itu untuk membantu siasatan.
Menurut Afzanizar, pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek yang melakukan perbuatan itu secara berkumpulan atau berseorangan.
Polis juga setakat ini katanya, tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian dan tiada pengesahan daripada pihak keluarga berhubung kehilangan barangan berharga mangsa.
Polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 394 dan 302 Kanun Keseksaan kerana samun dan bunuh.
Mayat mangsa dibawa ke hospital Melaka untuk dibedah siasat manakala isterinya dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.
#Abdul Rahman Pileh #bunuh #Melaka #Sabturiah Lakidau #samun
;